Pages

Monday, July 15, 2013

Karakter Penghuni Syurga dan Neraka


Daripada Harithah bin Wahb, bahawa suatu hari Rasulullah s.a.w. bersabda kepada para sahabatnya yang bermaksud : "Mahukah kamu semua aku beritahu (sifat-sifat) ahli syurga?"

Para sahabat menjawab : "Ya". Baginda bersabda lagi : "Setiap orang yang lemah dan dilemahkan (da'if mutada'af), andainya dia meminta kepada Allah, nescaya Allah mengabulkan permintaannya. Mahukah aku beritahu kepadamu (sifat-sifat) ahli neraka? Setiap orang yang suka bertengkar dengan kasar ('utul), berlagak (jawwaz) dan sangat sombong (mustakbir)."

Hadis ini sahih dan diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim dalam kedua-dua kitab Sahih mereka. Ia mengandungi perkara penting untuk kita renungi bersama.

Ahli syurga dan neraka dapat dikenal pasti sejak di dunia lagi menerusi sifat-sifat yang terdapat dalam diri
mereka. Rasulullah s.a.w. memberitakan sifat-sifat itu dengan tujuan agar kita dapat muhasabah diri. Ini kerana sifat-sifat ini menggambarkan kebanyakan ahli syurga dan ahli neraka.

Sesiapa yang memiliki sebahagian daripadanya, dapat dipastikan akan masuk ke tempat yang telah ditetapkan baginya.

Sifat Ahli Syurga

Salah satu sifat ahli syurga ialah lemah dan dilemahkan, yakni orang fakir dan dihina. Mereka tidak pernah disanjung dan dipuji, malah sering diremehkan kerana keadaan hidupnya. Demikianlah tafsiran makna kalimat (da'if mutada'af) ini menurut para ulama termasuklah Imam al-Nawawi dan al-Hafiz Ibn Hajar.
Sebahagian ulama mentafsirkan dengan makna yang lain. Al-Qadi 'Iyyad berkata : "Boleh jadi, kalimat lemah di sini bermakna ; hati yang lembut, halus dan tunduk kepada keimanan.

Apabila ditanya makna hadis ini, Ibn Khuzaimah menjawab : "Iaitu orang yang melepaskan dirinya daripada daya dan upaya sebanyak 20 hingga 50 kali setiap hari.

Maksudnya, ahli syurga ini selalu menyedari kelemahan diri tanpa bantuan daripada Allah s.w.t. Maka, dia memperbanyakkan kalimat; "la haula wa la quwwata illa billah" yang bermaksud tiada daya dan upaya kecuali dengan (bantuan) Allah s.w.t.

Imam al-Syafi'i pernah berkata : "Lemah merupakan sifat manusia yang paling jelas. Sesiapa yang selalu menyedari sifat ini, dia akan memperoleh istiqamah bersama Allah s.w.t."

Semua tafsiran ini tidak bercanggah antara satu sama lain, malah saling melengkapi. Ini dapat dirumuskan, ahli syurga memiliki hati yang lembut dan halus, selalu bersikap tawaduk dan menyedari kelemahan diri di hadapan Allah s.w.t.

Bukan mustahil bagi orang seperti ini sering kali diremehkan dalam pergaulan kerana sifat mereka yang enggan menonjolkan diri dan selalu mengalah. Padahal, jika mereka mengangkat tangannya untuk berdoa, Allah pasti memustajabkan setiap apa yang dimintanya.

Sifat Ahli Neraka

Apabila kita beralih kepada sifat-sifat ahli neraka sebagaimana yang disebutkan Nabi s.a.w., keadaannya songsang 180 darjah. Ahli neraka digambarkan sangat kasar ucapan dan perbuatannya.
Mereka suka bertengkar dan kuat berselisih. Dalam setiap perdebatan, pantang bagi mereka untuk mengalah meskipun menyedari kesilapan daripada dirinya sendiri. Apabila diingatkan dan dinasihati, mereka segera menunjukkan reaksi marah.

Orang seperti ini sangat dibenci oleh Allah s.w.t. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud : "Manusia yang paling Allah benci ialah orang sangat kuat bertengkar." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim daripada Aisyah)

Antara sifat ahli neraka yang lain pula adalah sangat angkuh dan sombong. Keangkuhan itu sangat jelas kelihatan dalam penampilan dan gerak-gerinya. Apabila berjalan, langkah mereka seperti orang yang angkuh. Apabila berbicara, lidah dan bibirnya dibentuk dengan gaya khas. Mereka selalu ingin berbeza daripada orang ramai dan meminta untuk dihormati.

Daripada Zaid bin Aslam, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud : "Langit menangis melihat hamba yang diberikan kesihatan badannya, dilapangkan perutnya dan diberi kenikmatan dunia, namun dia sangat zalim sesama manusia." (Riwayat Ibn Jarir al-Tabari dengan sanad mursal)

Jangan Keras Hati

Semua sifat ini berpunca daripada satu sumber iaitu kekerasan hati. Hati yang keras akibat daripada dosa-dosa yang telah menutupi cermin hati. Apabila hati telah keras, maka maksiat tidak lagi dirasakan sebagai dosa. Malah, maksiat itu terasa begitu "manis" dan "nikmat". Pemilik hati yang keras tidak memiliki sifat belas kasihan. Ucapan dan sikapnya tampak kasar walaupun terhadap ibu bapanya, anak-anaknya, isteri atau suaminya, dan apatah lagi kepada kawan-kawannya.
Hati yang kasar tidak tersentuh dengan kata-kata hikmah. Matanya kering kerana air mata tidak pernah dititiskan kerana nasihat. Suatu hari nanti, mata seperti ini akan dipaksa menangis kerana azab yang Allah timpakan kepadanya. Jika tidak di dunia, maka azab itu pasti menimpa di akhirat.

Al-Tirmizi meriwayatkan daripada Ibn Umar, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud : "Jangan terlalu banyak berbicara selain menyebut Allah. Sebab mereka yang banyak berbicara selain menyebut Allah akan mengeraskan hati. Sesungguhnya manusia yang paling jauh daripada Allah ialah pemilik hati yang keras."

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...