Pages

Sunday, July 14, 2013

RACUN HATI


Assalamualaikum para pembaca sekalian, kali ini saya ingin berkongsi lagi satu artikel yang bertajuk Racun Hati .Namanya pun racun, mendengar perkataannya pun sudah dapat membayangkan bahawa ia sesuatu yang boleh menyakitkan, menyeksa dan jika dibiarkan tanpa dikawal, racun ini boleh membunuh.
Hati juga mempunyai racun yang boleh mematikannya. Namun, demikian racun hati jarang disedari kerana ia telah sebati berlaku di sekeliling.

Punca Racun Hati


Racun hati boleh disebabkan oleh tiga penyebab utama, iaitu lidah, mata dan perut. Jika ketiga-tiga penyebab utama ini tidak dijaga dengan baik, maka rosaklah hati.



1. Racun daripada lidah


•Berlebihan dalam berbicara
Betapa bahayanya lidah jika kita tidak menjaganya dengan baik kerana ia merupakan anggota dalam tubuh yang paling baik dan paling buruk selain hati. Kita hendaklah mengawal lidah daripada berbicara tentang hal orang lain seperti mengumpat dan menabur fitnah sesama manusia.

Daripada Anas bin Malik r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud : "Tidak akan lurus keimanan seseorang hamba hingga lurus hatinya sehingga lurus lidahnya." (Riwayat Ahmad)

Gerakan lisan adalah gerakan anggota tubuh paling ringan. Oleh sebab itu, banyak ucapan yang mendatangkan mudarat kepada manusia. Di samping permusuhan, kebencian dan akibat negatif yang lain, banyak berbicara juga akan mengeraskan hati dan akhirnya cenderung untuk menjauhkan seseorang daripada Allah. Selain itu, seseorang akan terdorong mengucapkan kata-kata yang dimurkai Allah tanpa menyedarinya. Akibat inilah yang mendorong kita untuk masuk ke neraka.

Rasulullah s.a.w. bersabda, maksudnya : "Jangan banyak berkata-kata selain zikrullah kerana ia membuat hatimu menjadi keras dan orang yang terhindar jauh daripada Allah ialah orang yang memiliki hati yang keras."(Riwayat al-Tirmizi)

Imam al-Syafi'i menukilkan : "Jagalah lidahmu wahai kawan agar ia tidak menyengatmu kerana lidah tidak ubah seperti ular berbisa. Ramai orang binasa akibat lidah, padahal dahulu mereka dihormati kawan-kawannya."

Selain itu, kita juga tidak digalakkan untuk mengeluarkan kata-kata yang tidak baik kepada orang lain menggunakan lidah untuk mencaci serta menghina sesama manusia.

Sayidina Umar al-Khattab r.a. pernah berkata : "Sesiapa yang banyak bicaranya, maka banyak kesalahannya. Orang yang banyak salahnya bererti banyak dosanya sehingga nerakalah sebaik-baik tempat bagi mereka."

•Mengadu domba

Mengadu domba adalah perbuatan mengadu tentang keburukan orang kepada orang lain serta suka menambah cerita mengenai keburukan orang lain. Orang yang suka mengadu domba suka menyembunyikan kebaikan yang didengari dan akan mencanang keburukan seseorang. Sabda Rasulullah s.a.w., maksudnya : "Tidak masuk syurga orang yang suka mengadu domba."

Lidah ialah anggota yang banyak menarik manusia ke syurga dan neraka. Jika seseorang itu banyak berkata perkataan yang baik dan sentiasa menggunakan lidahnya untuk berzikir kepada Allah, maka syurgalah ganjaranya. Tetapi, sesiapa yang banyak menyalahgunakan lidahnya dan tidak bertaubat atas kesalahannya, maka dia akan diberi ganjaran neraka di akhirat kelak oleh Allah.

•Mengumpat

Mengumpat adalah membicarakan aib orang lain sedangkan orang yang diumpat tidak mengetahui dirinya diumpat. Ia bertujuan untuk merosakkan nama baik dan menjatuhkan maruah orang lain pada pandangan umum. Ia boleh menjurus kepada fitnah yang mambawa dosa yang lebih besar. Firman Allah s.w.t. maksudnya : "Fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan."(Surah al-Baqarah 2:191)

•Memfitnah

Fitnah adalah cubaan untuk mengganggu, menghasut dan mengacau ketenteraman orang lain melalui perkataan. Ia dilakukan dengan tujuan jahat untuk membuatkan orang yang difitnah itu menderita, berpecah belah dan sengsara.

Fitnah boleh terjadi apabila wujud perasaan dendam dan iri hati serta dengki dengan kejayaan orang lain. Orang yang suka memfitnah tidak mempunyai pegangan iman yang mantap. Dia juga tidak takut dengan ancaman dan seksaan Allah s.w.t., di samping mempunyai jiwa yang rosak. Wujud dalam dirinya sikap tamak dan haloba yang sukar dikikis. Dia melakukan sesuatu dengan hati yang tidak ikhlas serta suka melihat orang lain menderita dan sengsara.

•Berlebihan dalam pergaulan

Berlebihan-lebihan dalam pergaulan dapat menimbulkan hilangnya kenikmatan dalam persahabatan atau hubungan kekeluargaan serta dapat menimbulkan benih-benih permusuhan. Ada hati yang terluka akibat percakapan yang melampau dalam pergaulan.

Dalam sebuah pergaulan, seharusnya ia dapat menambahkan ilmu dan kenalan jika tidak berlebih-lebihan. Perkara yang banyak berlaku pada hari ini adalah apabila wujud pergaulan yang menimbulkan kemudaratan kepada manusia itu sendiri yang menjurus kepada kemaksiatan dan kelalaian.

Para remaja cenderung untuk bergaul tanpa memikirkan batas-batas yang perlu dijaga kerana mereka merasakan wujudnya kebebasan dan hak dalam pergaulan. Islam telah menggariskan panduan untuk diikuti agar umatnya tidak terjebak dalam pergaulan yang melampau.

Allah s.w.t. menjadikan kita daripada pelbagai bangsa, keturunan dan agama. Kita seharusnya mewujudkan pergaulan yang harmoni dan sihat dengan semua peringkat masyarakat. Pergaulan yang baik adalah pergaulan yang ditunjangi akhlak baik dan memelihara diri daripada melakukan perkara yang dilarang agama.

Firman Allah s.w.t., maksudnya : "Wahai manusia, sesungguhnya Kami menjadikan kamu terdiri daripada lelaki dan perempuan dan Kami menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan berpuak-puak supaya kamu saling mengenali. Sesungguhnya, semulia-mulia orang di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa antara kamu." (Surah al-Hujurat 49:13)

2. Racun daripada mata

•Berlebihan melihat sesuatu

Berlebihan di sini bermakna memandang sesuatu yang dapat menimbulkan angan-angan yang akhirnya dapat merosakkan kesucian jiwa. Akibat yang akan diperoleh dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w. yang bermaksud : "Pandangan mata kamu itu merupakan anak panah yang beracun daripada anak panah iblis." (Riwayat al-Hakim)

Jika terpandang secara tidak sengaja dimaafkan tetapi jika pandangan itu diulang buat kali kedua dan memandang dengan secara sengaja, maka itu adalah berdosa. Lebih berdosa lagi jika pandangan itu antara lelaki dengan wanita yang bukan mahram.

3. Racun daripada perut

•Berlebihan ketika makan

Salah satu perkara yang membuat hati menjadi lembut, daya ingatan menjadi kuat dan melemahkan hawa nafsu adalah laparnya perut. Maksudnya, kita hanya makan sekadar yang perlu, tidak terlalu sedikit dan tidak terlalu banyak. Banyak makan membuatkan kita lebih cenderung untuk terasa mengantuk ini menyebabkan banyak tidur akibat terlalu kenyang.

Contoh terbaik yang boleh kita ambil ialah Rasulullah sendiri yang makan apabila lapar dan berhenti sebelum kenyang. Baginda juga menggalakkan umatnya berpuasa bagi merehatkan perut dan menghindari penyakit.

•Mengubati dengan berpuasa

Pada hari ini, kebanyakan orang terlalu mengikut kata hati dalam memilih makanan terutamanya pada bukan Ramadan yang menyaksikan persaingan jualan pelbagai juadah yang enak dan beraneka. Kita sebagai orang Islam sepatutnya menginsafi nasib saudara kita yang hidup dalam serba kekurangan tanpa makanan yang berkhasiat secukupnya. Ada sesetengah orang yang makan, tetapi membazir. Makanan yang tidak dapat dihabiskan, dibuang begitu sahaja walaupun masih boleh dimakan.

Sekian sahaja artikel kali ini yang berkaitan dengan Racun Hati. Semoga bermanfaat buat semua. Wassalamualaikum wr. wb.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...