Sunday, July 14, 2013
Tip Mengubat Hati
Hati yang sakit tidak boleh dibiarkan. Jika tidak diubati, maka ia akan bertambah kronik. Jika dibiarkan berlarutan, maka sudah pasti ia membawa kebinasaan. Hati yang binasa mengakibatkan pemiliknya binasa.
Justeru, untuk mengubati hati ia memerlukan kepada ubat dan kaedah yang tertentu. Berikut disenaraikan beberapa tip untuk mengubati hati lebih-lebih lagi jika hati tersebut dalam keadaan sakit atau parah:
Tip 1|Sentiasa Berbaik Sangka
Dalam kehidupan berumah tangga, berbaik sangka merupakan kunci kebahagiaan dan kedamaian. Ia juga merupakan salah satu cara untuk mengeratkan perpaduan sesama umat manusia amnya dan umat Islam khususnya.
Sebagai contoh, seorang isteri hendaklah berbaik sangka terhadap suaminya jika suami pulang lewat dari pejabat dengan beranggapan bahawa suami keluar rumah untuk mencari rezeki.
Elakkan bersangka buruk kerana sifat ini datang daripada syaitan yang sentiasa menghasut manusia ke arah pergaduhan dan perpecahan. Manakala dalam kehidupan berumah tangga pula, sifat buruk sangka akan membawa kepada perceraian.
Dalam kehidupan berjiran, sikap ini akan menyebabkan hubungan sesama jiran tetangga menjadi renggang. Orang yang berbaik sangka akan beroleh pahala kerana hatinya tenang dan tidak dicemari dengan sifat yang tidak baik.
Tip 2|Buang Hasad Dengki
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : "Jikalau kamu beroleh kebaikan, maka mereka tidak berasa gembira, sedang jikalau kamu mendapat kemudaratan, maka mereka bergembira disebabkan kemudaratan tersebut." (Surah Ali 'Imran 3:120)
Sepatutnya, sifat ini harus dibuang daripada diri seseorang kerana ia membawa kepada kebinasaan individu itu sendiri. Sering berlaku apabila sesetengah orang Islam berasa iri hati dengan saudaranya sendiri sehingga sanggup berbunuhan antara satu sama lain. Contoh terdekat yang terdapat dalam sejarah ialah kisah pembunuhan manusia pertama di dunia iaitu antara Habil dengan Qabil yang bermusuhan kerana perasaan iri hati.
Tip 3|Ukirkan Senyuman
Kita digalakkan untuk melemparkan senyuman ketika bertemu sesama umat Islam yang lain. Senyuman adalah sedekah yang cukup mudah untuk dilaksanakan. Ia bertujuan untuk mengeratkan silaturahim sesama manusia. Namun, perlulah diingati bahawa senyuman yang lemparkan antara lelaki dengan perempuan yang bertujuan untuk berkasihan adalah dilarang dalam agama. Senyuman yang diukir hendaklah ikhlas dan lahir daripada hati yang bersih dan bukannya berselindung di sebalik maksud yang tertentu.
Ungkapan "senyum itu sedekah" hendaklah dipraktikkan sebaik mungkin. "Sedekah" perkataan yang selalu didengar biasa dikaitkan dengan wang ringgit dan harta benda. Ia berlaku apabila si kaya membantu si miskin, atau orang yang mampu memberi kepada mereka yang memerlukan. Inilah fahaman yang wajar ditinggalkan yakni skop sedekah bukan meliputi harta benda dan yang ringgit sahaja, tetapi senyuman juga adalah sedekah.
Namun, ada sesetengah orang amat payah untuk melemparkan senyuman. Mungkin jiwanya sakit atau dalam dirinya telah tertutup pintu kebaikan dan kebajikan. Selain riak muka yang masam dan kusam, ia juga akan menimbulkan perasaan benci sesama manusia.
Tip 4|Merendah Diri
Kita tidak seharusnya sombong dan takbur dengan nikmat yang dimiliki. Segala sifat sombong, ujub, riyak, takbur dan bongkak haruslah disingkirkan daripada diri kerana sifat ini bukan sahaja dibenci oleh Allah s.w.t. dan Rasul, malah turut dibenci oleh seluruh manusia.
Rasulullah s.a.w. menggambarkan orang yang bersikap sombong ini sebagai golongan yang tidak akan masuk ke syurga. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud : "Tidak akan masuk ke syurga orang yang dalam hatinya terdapat sifat sombong walaupun sebesar zarah." (Riwayat Muslim)
Ajaran Islam sendiri tidak membenarkan umatnya mengina orang lain. Seseorang individu perlu menghiasi dirinya dengan sifat tawaduk yang merupakan lawan kepada sifat sombong. Allah s.w.t. tidak memandang manusia berdasarkan harta, pangkat atau paras rupa tetapi yang dinilai Allah hanya amal dan takwa yang membezakan.
Daripada Abu Hurairah, sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud : "Allah Taala tidak menambahkan seseorang hamba dengan kemaafan-Nya selain kemuliaan. Dan tiada seseorang merendahkan diri kerana Allah melainkan dia diangkat oleh Allah." (Riwayat Muslim)
Kehidupan seharian hendaklah dihiasi dengan sifat rendah diri. Jangan menjadi seperti Firaun yang sombong sehingga sanggup mengaku dirinya sebagai tuhan yang patut disembah. Namun, perlu diingat bahawa kita tidak digalakkan terlalu merendah diri sehingga membawa kepada kehinaan sendiri.
Tip 5|Hiasi Diri dengan Sifat Pemaaf
Orang yang memiliki sifat pemaaf mempunyai ramai kawan dan tidak mempunyai musuh. Sebaliknya orang yang berdendam, tidak mempunyai ramai kawan dan ada banyak musuh. Setiap manusia tidak terlepas daripada melakukan kesalahan dan jika orang melakukan kesilapan terhadap kita, berilah kemaafan kepadanya tanpa paksaan.
Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Nur ayat 22 yang bermaksud : "Dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada. Adalah kamu tidak mahu supaya Allah mengampunimu? Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."
Jika mahu Allah mengampunkan segala dosa kita, wajar bagi kita untuk memaafkan kesalahan orang lain terlebih dahulu. Walaupun orang yang membuat kesalahan itu tidak datang memohon maaf, kita harus memaafkannya kerana hati akan rasa tenang apabila memaafkan orang lain.
Walaupun amalan bermaaf-maafan dituntut dalam Islam, ini bukan bererti kita dibolehkan sesuka hati berbuat kejahatan dan kesalahan apatah lagi jika disengajakan. Perlu diingat bahawa dosa sesama manusia itu tidak akan diampunkan oleh Allah kecuali setelah mendapat kemaafan daripada manusia itu sendiri.
Tip 6|Hiasi Diri dengan Sifat Ikhlas
Ikhlas bermaksud suci dan murni serta tidak bercampur dengan perkara lain. Maksudnya, mengerjakan ibadah dan kebajikan hanya kerana Allah serta mengharapkan keredaan Allah, bukan untuk mendapat pujian dan kemasyhuran serta gelaran.
Abu Laith al-Samarqandi berpendapat bahawa apa-apa juga yang dilakukan kerana Allah adalah diterima dan beroleh pahala. Sebaliknya, apa-apa jua yang dikerjakan bukan kerana Allah tapi kerana manusia dan hanya untuk mendapat pujian, akan ditolak dan tidak mendapat sebarang pahala.
Ikhlas bukan terbatas kepada pemberian sahaja tetapi juga dalam beribadat. Allah s.w.t. itu Maha Mengetahui sama ada hamba-Nya itu ikhlas menyerahkan diri kepada-Nya atau terpaksa.
Sesetengah orang menunaikan solat hanya kerana takut dikatakan jahil oleh orang di sekelilingnya. Begitu juga ada yang berpuasa kerana talu diejek atau diperlekehkan. Jika ibadah ini dilakukan tanpa sifat ikhlas, kita tidak akan mendapat apa-apa pahala melainkan penat sahaja.
Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Bayyinah ayat 5 yang bermaksud : "Dan mereka hanya diperintahkan supaya menyembah Allah dengan tulus ikhlas menjalankan agama yang benar, mendirikan solat dan membayar zakat. Dan itulah agama yang betul."
Kita perlu sandarkan niat yang betul dalam melakukan sesuatu. Niat itulah yang menentukan sama ada kita ikhlas atau tidak. Jika niat tidak betul, ia akan menimbulkan sifat riyak dan menunjuk-nunjuk.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment