Pages

Wednesday, July 17, 2013

SEDALAM MANA CINTA KITA KEPADA RASULULLAH S.A.W


 Yang paling berkuasa dalam diri manusia ialah hati. Imam al-Ghazali menegaskan bahawa hati umpama raja yang paling berkuasa dalam diri manusia. Pancaindera dan segala anggota badan bagaikan rakyat yang tunduk dan patuh kepada perintah hati.

Hati adalah tempat cinta yang bertakhta. Cinta itu yang mengawal hati. Jika seseorang mencintai sesuatu, seluruh tenaga, upaya dan fokus dalam hidupnya akan ditumpukan kepada apa-apa yang dicintai.

Oleh kerana itu, kita perlu berhati-hati apabila mencintai dan dicintai. Kita perlu berhati-hati memilih "siapa" dan "apa" yang hendak kita cintai.

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda, maksudnya : "Seseorang akan menjadi hamba kepada apa-apa yang dicintainya." (Riwayat al-Bukhari)



Syukur, jika hati mencintai Allah, kita akan menjadi hamba kepada Allah dan seluruh hidup kita akan terfokus kepada iman dan Islam. Alangkah ruginya jika di hati kita bertakhta kejahatan dan kemungkaran kerana kita akan menjadi hamba kepada kejahatan dan kemungkaran itu.

Cinta Allah Segala Sumber

Hidup memang untuk cinta. Tetapi cinta kepada siapa? Jawabnya, cinta kepada Allah.
Firman Allah, maksudnya : "Orang yang beriman sangat cinta kepada Allah. Kalaulah orang yang melakukan kezaliman mengetahui ketika mereka melihat seksaan (pada hari kiamat) bahawa kekuatan itu semua kepunyaan Allah dan amat berat seksaan-Nya (nescaya mereka menyesal)." (Surah al-Baqarah 2:165)

Cinta kepada Allah sumber segala kekuatan, kekayaan, ketenangan dan kejayaan.

Manusia yang bercinta dengan Allah Yang Maha Kaya (al-Ghaniy), akan mendapat kekayaan jiwa yang tiada tandingan.

Manusia yang paling kuat ialah manusia yang mencintai Allah Yang Maha Perkasa(al-Qawiy)

Manusia yang jahil dan serba tidak tahu akan menjadi insan yang bijaksana apabila berhubung cinta dengan Allah Yang Maha Mengetahui (al-'Alim).

Manusia yang cinta kepada Allah punya kekuatan dan ketenangan untuk menghadapi kehidupan. Hidup mereka tidak akan diganggu gugat oleh rasa takut atau dukacita.

Firman Allah yang bermaksud : "Kebebasan yang diberikan kepadamu (apabila diketahui oleh mereka) lebih dekat untuk mententeramkan hati mereka, menjadikan mereka tidak berdukacita, serta menjadikan mereka reda akan apa-apa yang engkau lakukan kepada mereka. Dan (ingatlah) Allah sedia mengetahui setiap yang ada dalam hati kamu. Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Penyabar." (Surah al-Ahzab 33: 51)

Jika kemanisan hidup yang kita cari, maka rasa cinta kepada Allah mestilah disemat dalam hati.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud : "Sesiapa yang mempunyai tiga perkara padanya, dia telah mendapatkan kemanisan iman, iaitu Allah dan Rasul-Nya lebih dicintai daripada selain kedua-duannya, serta mencintai dan membenci seseorang semata-mata kerana Allah. Dia hendaklah benci untuk kembali kepada kekafiran sebagaimana dia membenci jika dicampakkan ke dalam neraka." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Ekspresi Cinta Sahabat kepada Allah

Cinta kepada Allah telah membentuk sahabat-sahabat Nabi s.a.w. berikut menjadi orang yang hebat :
Sahabat/Tabiin Bukti Cinta
Abu Bakar r.a. Sanggup mengorbankan seluruh hartanya untuk Islam.
Umar al-Khattab r.a. Kurang tidur pada waktu malam hari kerana bimbang urusannya dengan Allah tidak selesai dan kurang tidur pada waktu siang kerana bimbang urusannya dengan manusia tidak selesai.
Umar bin Abdul Aziz Sangat amanah sehingga tidak sanggup mengambil sedikit pun harta negara untuk maslahat dirinya.
Khalid al-Walid Tidak terikat dengan jawatan apabila berkata : "Aku berjuang bukan kerana Umar (bahkan kerana Allah)."
Mengapa Perlu Mencintai Rasulullah

Begitulah kelebihan mencintai Allah. Hitam, putih, manis, pahit, terang dan gelap - semuanya baik belaka jika sudah ada cinta. Namun demikian, cinta kepada Allah tidak mungkin dicapai tanpa melalui cinta Rasulullah s.a.w. Cinta Allah itu tujuan, cinta kepada Rasulullah pula jalan. Tujuan tidak akan tercapai tanpa mengikut jalan.
Antara jalan menuju kejayaan adalah dengan "meniru" orang yang berjaya sebagaimana yang turut dinyatakan oleh pakar motivasi dan psikologi. Sebagai umat Islam, siapa lagi insan paling berjaya jika tidak Rasulullah? Baginda mencapai kejayaan yang holistik sebagai individu dan masyarakat di dunia dan akhirat.

Allah s.w.t. telah menegaskan hakikat ini melalui firman-Nya yang bermaksud : "Pada diri Rasulullah buat kamu adalah suri teladan yang baik." (Surah al-Ahzab 33: 21)

Tanpa berdolak-dalih lagi, kita boleh merumuskan bahawa punca kegagalan umat Islam kini kerana tidak menjadikan Rasulullah sebagai teladan.

Berikut dihuraikan sebab kita perlu mencintai Rasulullah s.a.w. :

1. Jalan mencintai Allah
Allah sendiri telah menunjukkan bahawa jalan mencintai Allah adalah dengan mencintai Rasulullah. Jalan itu wajib diikuti. Tidak ada manusia yang mampu mencintai Allah mengikut jalannya tersendiri. Seperkara lagi, kita mestilah mencintai segala-gala yang dicintai Allah. Ia meliputi para rasul, nabi, malaikat, hamba-Nya yang soleh, amal soleh dan akhlak mulia.

Tegasnya, cinta kepada Allah mewajibkan kita agar mencintai sesiapa dan segala sesuatu yang dicintai-Nya. Insan yang paling dicintai oleh Allah ialah Rasulullah s.a.w. Inilah syarat pertama dan utama meraih cinta Allah.

Perkara ini ditegaskan sendiri oleh Allah melalui firman-Nya yang bermaksud : "Katakan : 'Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku (Muhammad). Nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu.' Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.'" (Surah Ali 'Imran 3: 31)

2. Rasulullah sangat dimuliakan Allah
Allah telah memilih Baginda sebagai manusia yang paling mulia dengan pengikhtirafan berikut :
•Penghulu segala rasul.
•Menurunkan al-Quran kepadanya.
•Memuliakan dengan selawat.
•Menganugerahkan gelaran "Habibullah" (kekasih Allah).

Peri Rasulullah dimuliakan oleh Allah terpancar daripada firman-Nya yang bermaksud : "Sesungguhnya, Allah dan malaikat-Nya berselawat atas nabi. Wahai orang beriman, berselawatlah atas nabi." (Surah al-Ahzab 33: 56)

Bukan itu sahaja, malah Baginda dimartabatkan sebagai pemberi rahmat bagi seluruh alam dan kelak Allah akan lebih memuliakannya dengan memberikan syafa'ah 'uzma (pertolongan agung) pada hari kiamat.

Insya-Allah, orang yang memuliakan insan yang dimuliakan Allah (Rasulullah) akan turut dimuliakan-Nya. Rasulullah s.a.w. bersabda, maksudnya : "Sesiapa yang berselawat kepadaku sekali, maka aku akan berselawat atasnya 10 kali." (Riwayat al-Bukhari)

3. Rasulullah sangat mencintai kita
Rasulullah merupakan Nabi yang paling mencintai umatnya. Atas dasar cinta itulah Baginda berjuang habis-habisan untuk menyampaikan ajaran Islam - agama yang menyelamatkan manusia di dunia dan akhirat. Belum tentu orang yang kita cintai akan mencintai kita. Jika kita mencintai Rasulullah, kita tidak akan bertepuk sebelah tangan... Cintailah Rasulullah, pasti cinta kita berbalas.

Bukti cinta ialah pengorbanan. Semakin tinggi cinta, semakin banyak pengorbanan. Lihatlah bagaimana Baginda telah menumpahkan keringat, mengalirkan air mata, malah rela menyabung nyama demi menyelamatkan umat Islam daripada seksaan neraka.

Firman Allah, maksudnya : "Sesungguhnya telah datang kepadamu seorang Rasul daripada kaummu sendiri. Terasa berat olehnya dengan penderitaanmu, yang sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, amat belas kasihan serta penyayang terhadap orang Mukmin." (Surah al-Tawbah 9: 128)

Doa-doa yang diwariskan oleh Rasulullah kepada para sahabatnya dan kemudian dipindahkan daripada satu generasi ke satu generasi juga bukti cinta Rasulullah kepada umatnya. Jika kita merujuk kepada hadis-hadis yang dinukilkan dalam pelbagai kitab, kita dapat melihat betapa banyak khazanah doa yang diwariskan sebagai bukti kecintaan Baginda.

Tanda Mencintai Rasulullah

Sudahlah kita jatuh cinta kepada Rasulullah s.a.w.? Antara tanda mencintai Baginda ialah banyak mengingat, menyebut, merindu dan seterusnya ingin sekali bertemu. Maksudnya, cinta adalah satu perasaan yang bersemi dalam hati, diluahkan dengan lidah dan dibuktikan dengan tindakan dan pengorbanan.
Jika kita mengaku cintakan Rasulullah s.a.w., muhasabahlah sebanyak mana kita berselawat kepada Baginda sehari semalam? Selawat itu tanda ingatan. Setelah banyak mengingat dengan selawat, tentulah rasa rindu untuk bertemu semakin mendalam. Ya, cinta dan rindu amat sinonim.

Cinta yang hebat akan mampu mendekatkan jarak waktu dan jurang generasi. Inilah yang dialami oleh manusia yang hidup pada akhir zaman, tetapi punya cinta yang mendalam kepada Rasulullah s.a.w.

Justeru, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud : "Orang yang paling aku cintai dalam kalangan umatku ialah orang yang sesudahku yang sangat ingin melihat aku (walaupun dengan mengorbankan) keluarga dan hartanya." (Riwayat Muslim)

Kesimpulannya, orang yang bercinta mesti banyak mengingati sesiapa yang dicintainya. Apabila hati mengingat, mulut akan banyak menyebut. Apabila lidah banyak menyebut, hati akan berasa rindu. Apabila rindu, pasti terasa ingin bertemu. Ya, begitulah sifir cinta kepada Rasulullah. Bagaimana hendak bertemu dengan Rasulullah? Jawabnya, dengan mati dalam keadaan sedang berjuang menegakkan sunnahnya dalam seluruh aspek kehidupan!


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...