Pages

Monday, July 15, 2013

Nyalakan Lampu Hatimu


 Ramai orang tidak buta. Matanya dapat berfungsi dengan baik pada waktu siang. Namun, apabila malam menjelma dan kegelapan menyerkup, mata yang berfungsi itu tidak mampu memandang apa-apa.

Inilah hakikat bahawa kehadiran cahaya amat penting. Sebaik sahaja cahaya muncul, barulah mata boleh mengecam warna-warna serta bentuk-bentuk objek. Analogi ini menzahirkan bahawa sekalipun mata celik, namun ia tidak memberi apa-apa makna tanpa cahaya.



Bagaimana pula dengan mata hati? Adakah mata hati kita sudah terbuka? Kalau sudah terbuka, adakah dalam hati kita mempunyai cahaya yang cukup untuk membolehkan mata hati itu berfungsi melihat hakikat kebenaran?

Hati yang terbuka ialah hati yang hidup. Hati yang hidup ialah hati yang sentiasa melazimkan zikrullah. Manakala hati yang mati dan tertutup ialah hati yang tidak langsung mengingati Allah. Cahaya yang memerangi mata hati pula merupakan ayat-ayat Allah dalam al-Quran serta hadis Nabi SAW.

Tanda Sayang Nabi

Seorang ulama menyebut bahawa antara tanda mencintai Allah adalah dengan mencintai al-Quran. Ini kerana itu kalam Allah. Tanda seseorang mencintai al-Quran adalah dengan mencintai al-Quran adalah dengan mencintai Rasulullah. Ini kerana al-Quran diturunkan kepada Baginda. Tanda seseorang mencintai Rasulullah, dia mencintai sunnahnya. Ini kerana sunnah ialah perlakukan Nabi Muhammad SAW.
Persoalannya, adakah kita beramal dengan sunnah nabi? Adakah kita menjaga lidah, menyukai kebersihan, melazimkan diri dengan solat berjemaah, amanah dalam tanggungjawab, memakai serban dan menyimpan janggut? Atau mulut kita sahaja mengatakan: "Ya, kami sayang Nabi." namun zahirnya perbuatan mereka menyimpang daripada sunnah Nabi!

Hadis Sebagai Solusi

Rapat dengan majlis ilmu antara cara untuk mencelikkan mata hati. Kebanyakan majlis ilmu mempunyai manfaat yang tidak mampu diukur dengan neraca yang wujud di dunia. Ia memberikan jalan mengenal Allah dan mencintai-Nya, mengenal Rasulullah kepada kita walau antara kita dengan Baginda terpisah oleh zaman, malah kita mampu mencintai Baginda pada hari ini. Dengan majlis ilmu itu juga, kita tahu tatacara ibadah. Malah ia mengajar kita bahawa akhirat itu jauh lebih bernilai berbanding dunia.
Kini medium dakwah semakin berkembang. Semoga kita menjadi sebahagian audiensnya, tidak kiralah walaupun sekadar memuat turun dan mendengar kuliah di YouTube, menjadi penonton setia rancangan keagamaan di kaca televisyen, pendengar yang sabar menadah mutiara ilmu di corong radio atau lebih mencabar lagi menjelajah lokasi majlis-majlis ilmu diadakan.

Hati yang sukakan majlis ilmu itu hati yang hidup. Kenapa? Kerana dalam majlis ilmu itu biasanya kaya dengan bacaan dan mafhum al-Quran serta matan hadis Nabi. Ia membawa kita lebih dekat dengan dua cinta utama kita itu; Allah dan Rasulullah.

Mesej Agung

Jika hati kita kosong dan gelap, setiap masalah yang muncul akan terasa berat. Hasilnya masalah yang remeh pun sukar diselesaikan. Masalah kian bertimbun, akhirnya menyebabkan kita jadi buntu dan tertekan. Kegagalan menyelesaikan masalah mengikut cara agama menjadikan masalah itu tidak mampu dibereskan. Malah semakin membelit dan mengongkong jiwa.
Paling utama, untuk menyalakan hati adalah perlu lebih akrab dengan al-Quran dan hadis. Al-Quran bukan sekadar dibaca, tetapi perlu difahami makna dan mesejnya. Jika membaca sahaja sudah dikurniakan 10 ganjaran kebaikan bagi setiap huruf, maka dengan memahami mesej agung yang terkandung dalamnya akan memandu kita menjadi sebaik-baik manusia.

Begitu juga hadis. Ia turut kaya dengan mesej yang boleh membina tamadun besar. Buktinya sahabat Rasulullah dan salafussoleh telah berjaya bangkit membina tamadun walaupun bermula dengan masyarakat yang asalnya buta huruf. Di bawah sedar, hadis Nabi memberikan kekuatan kepada manusia. Malah Rasulullah pernah mendoakan secara khusus mereka yang mempelajari hadis Baginda dengan sabdanya yang bermaksud: "Semoga Allah memberikan cahaya kepada seseorang yang mendengar hadis daripadaku lalu menghafaznya sehingga dia menyampaikannya kepada orang lain." (Riwayat al-Darimi)

Hadis Nabi Pasti Tepat

Setiap orang pasti akan melakukan kesilapan, terutamanya orang yang jahil. Ilmu akan membantu seseorang keluar daripada kejahilan. Untuk mengetahui sesuatu itu betul ataupun salah, maka rujukan utama adalah al-Quran dan hadis sahih Nabi.
Imam al-Syafi'i pernah menyebut: "Kamu semua hendaklah mendampingi orang yang mempelajari hadis. Sesungguhnya mereka ialah orang yang paling tepat amalannya dalam kalangan manusia."

Oleh yang demikian, hanya ada satu jalan untuk memastikan mata hati kita boleh memandu akal iaitu mengisikannya dengan cahaya yang bersumberkan al-Quran dan hadis nabawi nasihat . Penuhilah masa dengan membaca al-Quran dan hadis setiap hari. Barulah "pelita" dalam hati kita akan terus menyala dengan cahaya keimanan. Insya-Allah!

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...